sila klik topik pilihan anda =)

tazkirah (22) cerpen dan cerita (19) artikel (13) hawa (13) isu semasa (11) aktiviti (7) remaja (7) ukhuwwah (7) cinta (5) hadis (4) motivasi (4) nasyid (3) sahabat (3) puisi (2)

May 16, 2012

Selamat Hari Guru

assalam :)

Buat guru-guru Sekolah Seri Puteri Cyberjaya khususnya juga semua guru di Malaysia amnya dan tidak dilupakan kedua-dua ibu bapa kita yang telah menjadi guru dari saat kelahiran kita sehingga ke hujung nyawa mereka.....



 
DOA 
 
 
SEKUNTUM BUNGA UNTUK GURU-GURU TERCINTA

Allah ciptakan matahari,
yang tak pernah bosan bersinar,
seperti halnya semangat dan kasih sayangmu dalam mendidik kami,
wahai guruku......

Allah ciptakan bulan untuk menerangi malam,
seperti halnya engkau bu guru,
yang selalu membimbing dan menerangi kami dengan berbagai ilmu

Allah ciptakan bintang dimalam hari sebagai penghias,
seperti halnya engkau bu guru,
yang selalu menghiasi hari-hari kami dengan begitu indahnya.

Allah ciptakan bunga yang begitu harum,
seperti halnya engkau bu guru yang telah memberikan keharuman pada hari-hari kami,
selama kami bermain dan belajar disekolah.
TERIMA KASIH GURU
Terima kasih guru
yang mengajarku dulu
membawaku ke ladang-ladang
ilmu
dengan sabar tak kenal jemu
kini kupetik buah kejayaan itu
dari pohon jasa seharum narwastu.

Terima kasih guru budiman
yang merungkai erti kehidupan
menanam benih-benih kemanusiaan
memadam puntung-puntung
kesombongan
bagai bintang di kegelapan malam
di tengah lautan jadi pedoman.

Terima kasih guru jauhari
yang membugar perkebunan budi
lembut menyiram akal pekerti
tekun menyemai mulia peribadi
jasa baktimu terhampar pasti
moga Tuhan sentiasa memberkati.

Terima kasih guru tercinta
menyahut cabaran semangat perkasa
memperkukuh iltizam membina bangsa
gelanggang pendidikan diri diperhamba
modal insan dijana dipelihara
melahirkan pemimpin memacu negara



May 14, 2012

Oh tudung labuh !!

assalam :)

alt

Tudung. Tudung. Tudung.
Ya, bermacam-macam rupa yang boleh kita lihat sekarang kerana semuanya mahu mengikut peredaran fesyen semasa.
Ada yang belitnya dari kiri ke kanan, ke atas ke bawah, disilangnya ke sana, ke mari. Cantik! Namun kebanyakannya tidak mengikut syariat.
Saya dahulu salah seorang dari yang gemarkan fesyen-fesyen lilit-lilit pusing-pusing itu semua. Perempuan mana yang tak mahu kelihatan cantik menarik!
Tambah lagi apabila pengalaman hidup yang saya lalui, berhadapan dengan orang tudung labuh yang berperangai sama macam yang bertudung tak mengikut syariat. Ada yang lebih teruk! Jadi? Kesimpulan awal saya ialah "Ahhh sama je orang tudung biasa dengan tudung labuh. Baik pakai macam biasa, macam kebanyakan orang lain pakai. Nanti bertudung labuh, tak boleh nak gila-gila!"
Namun jauh di sudut hati, ada satu rasa yang bergetar – ada sesuatu yang menarik tentang tudung labuh.

Allah sayang saya. Amat sayang.
Hampir setiap hari dalam hidup, Allah temukan saya dengan artikel-artikel tentang erti sebenar tudung.  Saya mula perlahan-lahan, dari tudung yang berbagai fesyen itu, saya tutupkan dada. Masih dengan tudung biasa! Dalam hati, "OK, cukup dah ni". Namun masih sentiasa bermohon pada Allah supaya dilimpahi hidayah-Nya.
Allah masing sayang saya, terlalu sayang.
Allah bukakan mata saya, untuk melihat betapa indahnya, betapa selamatnya bertudung labuh. Allah kenalkan saya dengan insan-insan bertudung labuh, yang masih lagi gila-gila, namun terbatas pergaulan mereka, yang terjaga tatasusila.
Saya seorang yang cerewet, tidak suka pada telekung-telekung di mall yang berbau, berdaki. Allah tunjuk pada saya, apabila bertudung labuh, lebih mudah, lebih selesa untuk saya solat, kerana aurat saya sudah terjaga! Tidak perlu lagi telekung-telekung berbau berdaki itu semua.
Saya seorang yang akan hilang rasa hormat pada lelaki-lelaki yang bersiul-siul pada perempuan di tepi-tepi jalan, yang lalu di hadapan mereka. Sangat tidak hormat! Tetapi Allah tunjuk pada saya, apabila bertudung labuh, lelaki-lelaki itu tidak berani buat begitu.
Saya nekad. Dengan hanya dua helai tudung berbidang 60" yang mampu saya beli, saya sarungkan. Terasa betapa Allah sayang saya. Saya rasa sangat selamat dalam dakapan tudung labuh, yang satu masa dulu saya pandang hanya sebelah mata.

Saya sekarang bertudung labuh, tetapi masih gila-gila! Bertudung labuh bukan bererti saya alim. Saya juga masih tercari-cari cahaya. Tetapi tudung labuh itu membantu saya, dalam gila-gila, saya ingat untuk menjaga batas-batas, tatasusila. Yang mendekatkan saya pada cahaya, bukan gelita. Saya malu untuk buat perkara sia-sia, malu jika saya dipandang manusia lain sepertimana saya memandang perempuan bertudung labuh yang "perangai tak serupa tudung" suatu masa dulu.
Tudung labuh itu bukan tanda seseorang itu alim, tetapi itu pelindungnya dari perkara-perkara yang tidak baik. Moga dari kerana tudung, hati saya juga terjaga, akhlak saya dipelihara, akidah saya makin teguh pada-Nya.
Moga saya istiqamah! Moga akhlak saya seindah tudung saya! Amin Ya Rabb!


Ujian Allah itu 'tailor-made'

assalam :)

alt

"Huh? What do you mean?"
"Yalah, macam baju, kalau beli di kedai , tentu takkan mengikut bentuk badan kita yang sebenar.Tapi kalau di'tailor-made'kan, tentulah akan secocok dengan tubuh badan kita, sehingga menepati segala lekuk anggota kita.Ujian Allah itu juga begitu.Ia tailor-made untuk semua hamba-Nya.Tidak ada seorang mendapat ujian yang sama."
"Untuk apa Allah beri kita semua ini?" Begitu tanyaku pada seorang saudara perempuanku yang amat berhikmah.
"Kerana, ramai orang akan terkesan dengan tarbiyah peristiwa, yang Allah dah aturkan untuk dirinya. Lain orang, lain ujiannya, dan kesemua itu Allah datangkan untuk memperbaiki diri kita dan menjadikan diri kita lebih baik dari sebelum ini."
Dia meneruskan.''Allah akan berterusan memberikan ujian sehinggalah pada satu masa, hamba-Nya itu takkan dapat minta pertolongan pun daripada manusia. Dan semua manusia takkan dapat menolong dia pun. Sehinggalah hamba-Nya itu akan hanya berpaling dan meminta pertolongan dari Dia sahaja.''
Begitulah jirusan taujihatnya kepadaku.
Dan dia berbicara sambil mengenangkan juga ujian yang dihadapinya, walaupun tidak dikongsikannya kepadaku. Dan kami tahu, betapa ramainya lagi akhawat yang menanggung ujian yang bukan sedikit, semenjak berkenalan dengan bumi dakwah yang sebenar yakni bumi Malaysia.

Sehinggakan Allah, mahu kita muhasabah balik diri kita, dan betulkan semula niat kita, setiap kali kita melangkah.Benarlah, ujian Allah pada setiap seorang dari kita adalah 'tailor-made'.Engkau dan aku, ujian kita tidak akan sama.Sebab Allah, nak memperbetulkan kelemahan kita itu.Selagi mana kita masih ada kelemahan, ataupun terjebak dengan dosa, Allah akan datangkan ujian, yang menyingkapkan kelemahan kita. Agar kita kembali kepada Dia dengan memperbetulkan diri kita dan menjadikan diri kita lebih baik daripada semalam.
Selagi mana kita tidak mempertingkatkan selagi itu Allah akan uji pada titik kelemahan kita.
Subhnaallah.


Kisah perindu cinta yang sejati

assalam :)

Hatiku tenteram dan damai jika aku diam sendiri ketika Kekasih bersamaku cintaNya padaku tak pernah berbahagidan dengan benda yang sana selalu mengujikubilakah dapat kurenungi keindahanNya?
Dia akan menjadi mihrabku dan arahnya menjadi kiblatku bila kumati kerana cinta, sebelum terpuaskan akan terseksa dan lukalah aku di dunia inilah penawar jiwaku, hatiku adalah santapan yang tersaji bagi mahuNya barulah jiwaku pulih jika telah bersatu denganMu oh sukacita dan nyawaku moga kekallah dan diriMu juga berahiku berasal dari semua benda fana di dunia ini diriku telah tercerai hasratku adalah bersatu denganMu melabuhkan rindu
~Rabiatul Adawiyah
Kisah seorang wanita yang cintanya hanya kepada Illahi menjadi kisah abadi yang dikenali. Wanita yang meletakkan cintanya hanya kepada Illahi ini menjadi taudalan bagi kita manusia dalam mengejar cinta Allah yang sejati dan hakiki. 
Rabi'ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Beliau lahir sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Beliau lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.
Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara' serta zuhud hampir lenyap sama sekali.

Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.
Bapa Rabi'ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi'ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi'ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.
Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi'ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman.
Ayuh kita teliti ucapan Rabi'ah sewaktu kesunyian di keheningan malam ketika bermunajat kepada Allah:
"Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!
"Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.
"Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.
"Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi'ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu."
Rabi'ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:
"Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa."
Setiap malam begitulah keadaan Rabi'ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi'ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:
"Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu."
Seperkara menarik tentang diri Rabi'ah, dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:
"Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun."
Rabi'ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi'ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.
Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:
"Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu."
Antara syairnya yang masyhur berbunyi:
"Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun."
Rabi'ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:
"Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?"
Kecintaan Rabi'ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.
"Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu."
Begitulah keadaan kehidupan Rabi'ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi'ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!
Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:
"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar."
Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:
"Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan."
Rabiatul Adawiyah pecinta illahi yang abadi mengajar kita semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah. Ia juga melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.
Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Allah jugalah tempat kita berlindung dan bergantung. Hal ini dapat membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian diperkukuhkan dengan mencintai suruhan dan perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.

May 2, 2012

Pembakar Semangat Wanita


assalam :)
Sejarah Asiah telah membuktik
Iman bukanlah penjara di jiwa
Yang selamanya bersembunyi
Tapi kemerdekaan yang hakiki
Yang punya wajah dan jua rupa
Akhirnya imanmu bersuara
Lantas kau dipenjara dan diseksa
Oleh suamimu yang dihina
Di kejauhan istana keangkuhan
Menggamit mata sayunya di jiwa
Namun hatimu tak sudi ke sana
Iman dan akidah lebih utama
Ratu syahadah lalu bermadah
Oh Tuhan binakan istana untukku
Walaupun di dunia ku diseksa
Namun tak terbayar nikmat di syurga
Oh Asiah kau merubah rencana
Bila tanganmu menyentuh bayi
Yang hanyut menongkah arus Sungai Nil
Lembutmu mematahkan keangkuhannya
Firaun merancang kau menghalangnya
Musa terbuang jadi terbilang.

Lirik lagu Ratu Syahada nyanyian kumpulan In-Team dengan indah menceritakan mengenai sejarah Asiah, isteri kepada Firaun yang kejam. Kisahnya yang menolak kemewahan dunia demi cinta dan kasih kepada Allah menjadi pembakar semangat kepada umat Islam seluruh dunia bagi menegakkan kebenaran agama Allah. Kisah Asiah ini harusnya diketahui dan diselusuri oleh kita umat Islam sebagai tauladan dalam mempertahankan agama Allah yang indah ini.
Di negeri Mesir terdapat kerajaan yang diketuai oleh raja yang terakhir bernama Fir'aun yang terkenal dengan kekejamannya. Setelah kematian isteri, beliau hidup sendirian. Pada ketika itu ada seorang gadis jelita daripada keturunan keluarga Imran yang baik-baik dan solehah yang bernama Siti Asiah dan sentiasa menjadi sebutan di kalangan pemuda-pemuda Mesir kerana keperibadian dan kejelitaannya.
Kisah kejelitaan Siti Asiah sampai ke telinga Fir'aun. Beliau yang mendengar kejelitaan Asiah ingin sekali menjadikan Asiah permaisurinya. Maka diutuskan seorang Menteri bernama Haman untuk merisik. Ibu bapa Asiah bertanya kepada tuan empunya diri tetapi Asiah menolak lamaran tersebut. Beliau berkata kepada kedua ibu bapanya bahawa Fir'aun adalah seorang raja yang ingkar kepada Allah SWT dan tidak berperikemanusiaan.
Tidak lama kemudian Haman, utusan Fir'aun datang kembali untuk bertanyakan tentang lamaran tersebut. Firaun terlalu marah setelah mendapat tahu yang lamaran Fir'aun ditolak. Ibu bapa Asiah dihina. Haman kemudian pulang dan memberitahu kepada Fir'aun akan berita buruk tersebut dan Fir'aun telah menjadi marah dan memerintahkan supaya kedua ibu bapa Asiah ditangkap. Mereka diseksa dan dimasukkan ke dalam penjara. Setelah itu Asiah ditangkap dengan menggunakan kekerasan dan kemudian dibawa ke istana Fir'aun dan bertemu dengannya. Di hapadapan Fir'aun, Asiah bertemu dengan kedua ibu bapanya di dalam penjara. Asiah sedih melihat keadaan kedua orang tuanya yang diseksa oleh Fir'aun.
Fir'aun berkata:
"Hai Asiah, jika engkau seorang anak yang baik, tentulah engkau akan sayang terhadap orang tuamu, maka oleh kerana itu engkau boleh pilih satu antara dua. Kalau kau menerima lamaranku bererti engkau akan hidup senang dan akan aku bebaskan kedua orang tuamu. Dan sebaliknya jika engkau menolak lamaranku,maka aku akan perintahkan mereka untuk membakar hidup-hidup kedua orang tuamu di hadapanmu."
Oleh kerana ancaman itu, maka Siti Asiah terpaksa menerima pinangan Fir'aun. Namun beliau meletakkan beberapa syarat:
1. Fir'aun harus membebaskan kedua ibubapanya.2. Harus membuatkan rumah yang indah lengkap dengan perkakas3. Orang tuanya harus dijamin kesihatan beserta makan dan minumnya.4. Asiah bersedia menjadi isteri Fir'aun, hadir dalam acara-acara tertentu tetapi tidak bersedia tidur bersama Fir'aun.
Sekiranya permintaan-permintaan tersebut tidak dipersetujui, beliau rela mati dibunuh bersama kedua ibu bapanya.
Akhirnya Fir'aun bersetuju menerima syarat-syarat tersebut dan memerintahkan supaya Asiah dibebaskan. Kini Asiah hidup mewah dan tinggal bersama-sama Fir'aun di dalam istana yang indah. Namun harta yang melimpah tidak mempengaruhi kehidupan peribadi Asiah. Asiah tidak pernah engkar terhadap perintah agama. Beliau tetap taat mengerjakan ibadah kepada Allah SWT. Pada malam hari beliau selalu mengerjakan solat dan beribadah kepada Allah SWT. Beliau sentiasa berdoa agar kehormatannya tidak disentuh oleh orang kafir miskipun suaminya Fir'aun. Bagi menyelamatkan Asiah dan menjaga kehormatannya, Allah SWT menciptakan iblis yang menyamar dirinya sama seperti rupa Asiah untuk tidur bersama Fir'aun.

Fir'aun sebenarnya mempunyai seorang pegawai yang amat dipercayai dan rapat dengannya yang bernama Hazaqil. Hazaqil berjaya merahsiakan identitinya yang sebenar. Hazaqil amat taat dan beriman kepada Allah SWT. Beliau adalah suami kepada Siti Masyithah yang bekerja sebagai juru hias istana yang juga taat dan beriman kepada Allah SWT.
Pada suatu hari maka terjadilah perdebatan yang hebat antara Fir'aun dengan Hazaqil di mana Fir'aun menjatuhkan hukuman mati terhadap ahli sihir yang beriman kepada Nabi Musa AS. Hazaqil menetang keras hukuman yang dijatuhkan kepada mereka semua kerana mereka semuanya beriman kepada Allah SWT. Mendengar kata-kata Hazaqil, Fir'aun menjadi marah. Akhirnya Fir'aun mengetahui yang Hazaqil engkar kepada beliau. Hazaqil kemudiannya dijatuhkan hukuman mati. Hazaqil menerimanya dengan tabah dan tidak merasa gentar demi membela kebenaran. Hazaqil meninggal dunia dengan kedua-dua tangannya diikat pada pohon kurma dengan tembusan beberapa anak panah. Isterinya yang bernama Masyitah sedih sekali di atas kematian suaminya yang tersayang itu. Beliau sentiasa dirundung kesedihan dan tiada lagi tempat mengadu kecuali kepada 2 orang anaknya yang masih kecil. Pada suatu hari Masyitah mengadu nasib kepada Asiah mengenai nasib yang menimpa dirinya. Di akhir perbicaraan mereka, Asiah juga menceritakan keadaan dirinya yang sebenar. Hasil daripada perbicaraan itu, barulah kedua-duanya mengetahui perkara sebenar bahawa mereka adalah wanita yang amat beriman kepada Allah SWT dan Nabi Musa AS.
Asiah binti Mazahim merupakan seorang wanita Mesir yang baik budi pekertinya dan bijaksana dalam pemikirannya. Oleh kerana dia memiliki kecantikan yang tiada tolok bandingan, dia dipaksa berkahwin dengan Firaun, raja Mesir yang berkuasa pada ketika itu.
Pada suatu hari ketika Asiah sedang duduk bersantai bersama dayang-dayang istana, dia terlihat sebuah kotak kayu terapung-apung di tepian sungai yang mengalir merentasi istana Firaun.
"Ambil kotak itu dan bawa kepada beta," arah Asiah kepada salah seorang dayang yang berdiri di tepinya.
Dayang itu berlari pantas ke arah kotak yang sedang terapung-apung di tepian sungai. Dia mengangkat kotak kayu itu dari permukaan sungai lalu dibawakan kepada Asiah. Dia berdebar-debar untuk mengetahui isi kandungan kotak kayu itu.
"Comelnya bayi lelaki dalam kotak kayu ini!," jerit hati Asiah apabila penutup kotak kayu itu terbuka.
Pada ketika itu, Firaun memerintahkan masyarakatnya membunuh semua bayi lelaki Bani Israel kerana dia bermimpi bayi tersebut akan menghancurkan dan membinasakan kerajaan pemerintahan Firaun.
Apabila berita penemuan bayi lelaki itu sampai ke telinga Firaun, maka dia bergegas ke tempat Asiah dan bayi lelaki itu.
"Pengawal! Bunuh bayi ini sekarang..." Perintah Firaun kepada pengawal yang mengiringinya ke kamar Asiah.
"Bukankah kita tidak mempunyai anak lelaki. Anak lelaki ini dapat kita jadikan anak angkat. Saya merayu supaya bayi ini tidak dibunuh kerana saya sudah sayang kepadanya.
'Dia akan memberikan manfaat kepada kita berdua apabila dewasa nanti," Asiah menghalang niat jahat Firaun dengan kata-kata bijaksananya.
"Baiklah. Saya tidak akan bunuh bayi ini kerana perasaan cinta saya pada kamu," Firaun akur dengan permintaan isterinya, lalu keluar dari kamar itu.
Asiah memberi nama Musa kepada bayi tersebut dan memeliharanya sehingga dewasa di istana Firaun.
Apabila nabi Musa mula berdakwah menyebarkan ajaran Allah, maka Asiah terus menjadi salah seorang pengikutnya tanpa pengetahuan Firaun dan orang sekelilingnya.
Pada suatu hari, Asiah duduk menyisir rambut anak perempuannya di kamar tidur. Tiba-tiba sikat yang digunakan Asiah bagi menyisir rambut anaknya jatuh dengan kehendak Allah.
Asiah yang terkejut dengan kejadian itu terus berkata, "Binasalah Firaun yang dilaknat Allah dengan izinnya."
"Dengan nama Allah," ucap Asiah tanpa menyedari anaknya memerhatikan perbuatannya dengan perasaan hairan.
"Ibu, adakah tuhan lain selain ayah? Adakah ibu sudah menganut agama yang dibawa oleh Musa? Mengapa ibu sanggup mengikut agama Musa? Bukankah ibu menyelamatkan Musa sewaktu kecil apabila dia akan dibunuh oleh ayah," anaknya bertanya pelbagai soalan kepada Asiah dan menanti jawapannya.
"Firaun, ayah kamu adalah manusia biasa seperti kita semua dan bukan tuhan. Tuhan sebenar adalah Allah, tuhan semesta alam!" jawab Asiah tanpa perasaan takut dan gentar.

"Biar saya adukan perkara ini kepada ayah!," balas anaknya, lalu dia lari keluar dari bilik itu dan pergi mengadu kepada Firaun.
Firaun yang mendengar aduan anaknya berasa sangat marah dengan Asiah. Dia tidak menyangka Asiah sudah mengikut ajaran Allah walaupun dia melarang sesiapa sahaja di Negara Mesir mengikuti ajaran Allah.
Orang yang mengingkari larangan itu akan dijatuhkan hukuman berat jika diketahui oleh Firaun. Kini isterinya sudah mengikut ajaran Allah, maka dia harus berbuat sesuatu supaya isterinya keluar dari agama Allah.
"Dengarlah nasihat saya, wahai Asiah yang amat saya cintai dan sayangi.
"Keluarlah dari agama yang dibawa oleh Musa. Saya akan berikan segala harta dan istana di Mesir sebagai hadiah," Firaun cuba berlembut dan memujuk Asiah dengan kata-kata manisnya.
"Saya tidak akan sekali-kali keluar dari agama ajaran Musa yang benar dan suci. Nanti saya akan dimurkai oleh Allah, tuhan yang mencipta saya.
"Jika saya tetap dalam agama ini, saya percaya Allah akan memberikan syurga yang lebih baik dari harta dan istana kamu," tegas Asiah yang tenang dan berani bertentang mata dengan Firaun yang menyala dengan api kemarahan.
Usaha Firaun memujuk isterinya menemui jalan buntu. Dia tidak mahu menghukum Asiah kerana perasaan kasih sayang dan cinta yang mendalam terhadap isterinya. Dia cuba memikirkan cara lain bagi melembutkan hati Asiah supaya dia tidak beriman dengan ajaran nabi Musa.
Namun, semua ikhtiarnya gagal dan tidak menemui jalan penyelesaian. Firaun termenung. Wajahnya terbayang seribu kekecewaan kerana gagal memujuk Asiah. Akhirnya, dia mengambil keputusan menggunakan kekerasan kepada Asiah supaya dia berpaling dari agama Musa.
"Pengawal, tangkap Asiah dan bawa dia berjumpa beta sekarang!," perintah Firaun dengan nada keras.
"Oleh kerana kamu masih berdegil mahu mengikuti ajaran agama Musa, beta jatuhkan hukuman berat ke atas kamu," kata Firaun lagi.
"Pengawal, bawa perempuan ini ke tanah tinggi dan ikatkan pada empat batang kayu. Pakukan empat kayu itu ke bumi dengan menelentangkan badan perempuan ini menghadap langit.
"Biarkan bahang matahari yang panas, dan sejuk malam menyeksanya," Firaun meminta para pengawalnya menjalankan hukuman ke atas Asiah dengan segera.
"Allah! Allah! Allah!," mulut Asiah tidak henti-henti menyebut kalimat Allah sepanjang hukuman itu dijalankan.
"Ya Allah! Saya mohon supaya dilindungi dari bencana Firaun dan dianugerahkan sebuah rumah di syurga," doa Asiah yang terseksa dengan pancaran matahari yang sangat panas dan terik.
Akhirnya Asiah dapat melihat rumahnya di syurga dengan kehendak Allah yang membuka hijabnya. Hatinya sangat gembira sehingga lupa pada penderitaan dan kesakitan yang sedang diharunginya.
Selepas beberapa lama tempoh penyeksaan itu berlalu, Asiah akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan kalimat Allah di mulutnya.
Begitulah kisah wanita yang berhati waja. Dia tetap dalam keimanannya kepada Allah walaupun diseksa sehingga mati tanpa belas kasihan.